PENETAPAN DI DALAM RUANGAN PEMANDUAN (SETTINGS)

Share on   

Rutin Sebelum Memandu

Bagi mencapai pemanduan sempurna, seseorang pemandu yang cermat akan sentiasa memastikan semua penetapan hendaklah diselaras dan disemak bagi segala peralatan instrument berada di posisi yang mudah dicapai serta berfungsi. Apabila semua alat kawalan berjaya dicapai dengan mudah, pemandu akan memperoleh keselesaan dan seterusnya mampu lebih relaks minda mereka bagi menumpukan fikiran terhadap hazard hazard yang ujud di persekitaran.

Kerusi pemandu hendaklah dilaraskan supaya pandangan pemandu adalah tinggi melepasi roda stering supaya pandangan mereka tidak terlindung dan berupaya melihat jauh ke hadapan. Perlu diingat bahawa sekiranya kerusi dilaraskan terlalu rendah atau senget ke belakang, pemandu akan mengalami sakit leher kerana terpaksa menegakkan kepala apabila perlu memeriksa titik buta. Oleh itu, kedudukan pemandu hendaklah secara bersandar sedikit sahaja.

Sebelum memulakan olah gerak, pemandu hendaklah mencuba setiap butang atau suiz yang utama seperti suiz lampu kabus, lampu besar rendah, tinggi dan flash, hon dan bilah pengelap cermin pemuka, hon dan lampu kecemasan (double signal). Pemandu juga wajib memeriksa tolok yang utama seperti tolok bahanapi, lampu amaran tekanan minyak enjin, suhu enjin dan bateri. Sebelum memulakan olahgerak, sekali lagi diingatkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar adalah WAJIB.

Sebagai pemandu yang berhemah, kita juga wajib memastikan penumpang juga memakai tali pinggang keledar. Berikut adalah sedikit petikan daripada kajian yang telah dibuat MIROS (Malaysian Institute for Road Safety) berkaitan kesan kegagalan pemakaian tali pinggang keledar:

BERAPAKAH KES KEMALANGAN ATAU KEMATIAN YANG MELIBATKAN PENUMPANG TEMPAT DUDUK BELAKANG?

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada tahun 2007, terdapat 350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Daripada jumlah ini, 40% – 50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya penumpang memakai tali pinggang keledar.

Oleh itu, bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008).

Apabila pelarasan kedudukan pemandu telah selesai maka barulah selamat untuk pemandu menghidupkan enjin. Oleh kerana system kenderaan moden pada hari ini adalah sensitive kerana ia menggunakan system ECU (Electronic Control Unit), maka pemandu perlu memastikan system instrument telah bersedia seperti lampu amaran ABS telah padam maka barulah enjin dihidupkan. Jika kereta anda adalah jenis lama tanpa unit ECU, maka sekurang-kurangnya tunggulah selama 5 saat selepas suis pada posisi “ON” menyala barulah menghidupkan enjin. Tindakan begini akan memanjangkan jangka hayat system elektrik dan fius-fius juga tidak akan terbakar akan aliran elektrik yang mengejut.

Berikut adalah kaedah umum untuk mula menggerakkan kenderaan bagi transmisi manual diperingkat olahgerak masuk:

1) Tekan injak cekam sepenuhnya
2) Masukkan gear satu
3) Lihat cermin pandang belakang dan sisi
4) Beri isyarat ke kanan dan toleh kea rah titik buta
5) Lepaskan brek tangan
6) Mulakan kawalan injak dengan melepaskan injak sedikit cekam dan diikuti dengan menekan injak pemecut secara perlahan lahan supaya mencapai imbangan pelepasan kuasa
7) Apabila kenderaan telah bergerak maka lepaskan injak cekam sepenuhnya

Catatan: Sekiranya terdapat sebarang kenderaan atau halangan dalam Kawasan titik buta, seorang pemandu berhemah hendaklah menangguhkan dahulu pergerakan sehinggalah situasi benar benar selamat barulah memulakan kembali olahgerak.

Sebagai pemandu yang cermat, apabila berada pada situasi jalanraya yang lancar dan lurus, mereka hendaklah meningkatkan kelajuan dengan meninggikan kedudukan gear iaitu daripada gear satu, dua sehingga gear paling tinggi (5 atau 6) mengikut spek transmisi kenderaan yang dipandu. Bagi transmisi automatic, sesuai dimulai dengan gear rendah juga iaitu D2 dan dinaikkan sehingga D3 atau D4.

Sebagai tambahan kepada Rutin Memulakan Pemanduan Selamat, berikut dirungkaikan peringkat2 kawalan yang perlu difahami oleh semua pemandu berkaitan kepada peringkat-peringkat kepentingan:

1) Kawalan Diri

Perlu diingatkan bahawa pemandu adalah pokok kepada kawalan sesebuah kenderaan. Oleh itu, pemandu mestilah bijak menguruskan dirinya bermula dari jiwa, mental dan fizikal. Seperti yang kita tahu, jiwa yang tenang adalah kunci kepada fikiran yang matang untuk kita menempuh setiap halangan hazard. Jika jiwa kita sedang runsing kerana masalah dalam kehidupan seperti tuntutan kerja dan perhubungan social. Perkara ini pasti akan mengganggu kotak fikiran kita yang sepatutnya difokuskan kepada pemanduan. Jadi sebelum mula menekan injak pemecut, jiwa yang kusut hendaklah ditenteramkan terlebih dahulu. Sekiranya kita ada mengambil ubat-ubatan kerana masalah kesihatan juga kita tidak sesuai untuk memandu. Hanya jiwa yang tenteram saja mampu mencapai tahap pemikiran yang waras supaya kita mampu mengawal fizikal kita iaitu pergerakan kaki dan tangan yang stabil bagi mengawal alat-alat instrument dalam sesebuah kenderaan;

2) Kawalan Kenderaan

Apabila pemandu sudah berjaya mengawal dirinya dari segi mental dan fizikal maka barulah mereka wajar mengawal sesebuah kenderaan. Pengawalan kenderaan dapat dicapai setelah memahami alat-alat kawalan dengan betul misalnya injak pemecut yang mampu memberi kuasa kepada kenderaan untuk memecut di atas jalanraya. Bagaimanapun, seorang pemandu hendaklah mengawal kelajuan kenderaan bergantung kepada keadaan. Secara amnya kelajuan bergantung kepada beberapa keadaan seperti kawasan yang dilalui iaitu kawasan perumahan, sekolah, bandar, jalan-jalan utama, lebuhraya persekutuan dan lebuhraya besar di bawah kawalan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pemandu hendaklah diterapkan semula pengetahuan tentang had-had laju iaitu kawasan sekolah dan perumahan (30 km/j), bandar (50 km/j), lebuhraya persekutuan (80 km/j) dan lebuhraya utama (90km/j kenderaan berat dan 110 km/j kenderaan ringan). Alat kawalan seterusnya yang utama ialah brek yang bertujuan memberikan kuasa memperlahan dan memberhentikan kenderaan apabila berhadapan dengan situasi kritikal. Berikut diterapkan beberapa kaedah membrek yang harus dipraktiskan oleh pemandu mengikut kehendak membrek secara terancang, membrek secara kecemasan (dengan menekan injak brek secara berperingkat) dan kaedah membrek bagi mengelak halangan iaitu bagi kenderaan dengan system ABS (membrek dan memusing stering), manakala kaedah BTR (brake turn release) bagi kenderaan tanpa ABS.

3) Kawalan Ancaman Bahaya (Hazards)

Artikel ini ditulis pada tahun 2023 dimana perkembangan semasa menunjukkan bahawa jumlah kenderaan di Malaysia kini telah melebihi jumlah penduduk. Jumlah kenderaan sekarang adalah sebanyak 36 juta berbanding jumlah penduduk sebanyak 33 juta berdasarkan statistic daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dengan pertambahan kenderaan yang sangat tinggi ini menjadikan jalanraya di Malaysia adalah sangat sesak. Sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kerosakan kenderaan maka sesuatu jalan akan mengalami trafik jam yang sangat luarbiasa misalnya semasa musim-musim perayaan dimana trafik jam boleh mencecah lebih dari berbelas belas kilometer. Sesuatu perjalanan yang biasanya memakan masa 6 jam misalnya boleh berlanjutan sehingga 12 atau 13 jam berdasarkan pengalaman penulis.

Pada zaman sekarang juga terdapat pemandu atau pengguna jalanraya yang tidak berfikiran waras lagi akibat tekanan perasaan, mengambil alcohol, dadah dan sebagainya sehingga mereka sanggup untuk memandu melawan arus sehingga menyebabkan perlanggaran secara berhadapan. Terdapat kes juga pemandu yang memandu memasuki lorong motosikal sehingga menyebabkan kemalangan. Oleh itu, pemandu yang berwaspada hendaklah sedar bahawa walaupun memandu di lorong laju / memotong di atas lebuhraya kemungkinan kenderaan masuk arah bertentangan tetap ada. Ini belum dikira lagi oleh pemandu yang mengantuk sehingga melanggar pembahagi jalan atau kenderaan yang berada bersebelahan. Ingatlah sentiasa bahawa ancaman hazard ini boleh muncul secara tiba-tiba seperti tayar kenderaan meletup atau tercabut ataupun barang-barang yang jatuh daripada kenderaan perdagangan terutama jika anda memandu berhampiran laluan ke pelabuhan dan sebagainya.

Kesimpulan daripada artikel siri yang ke-3 ini menunjukkan kepada kita bahawa pemandu-pemandu pada hari ini perlu mendepani situasi yang lebih mencabar berbanding pada dekad yang telah lepas.

Ikuti siri berikutnya untuk kita menyentuh aspek-aspek teknikal di dalam pemanduan…

Share on   

Categories

Know more