PEMANDU YANG BERWIBAWA
PENGENALAN
Pada zaman dahulu manusia terpaksa berjalan kaki menuju ke destinasinya. Masa telah berlalu, pihak cerdik pandai telah mencipta kenderaan sebagai pengangkutan. Ketika itu mereka sentiasa berfikir sama ada kenderaan yang diciptanya dapat berfungsi dengan jayanya atau tidak.
Pada zaman ini masalah pengangkutan telah selesai tetapi masalah yang lain pula timbul iaitu kesesakan lalulintas dan pemandu selalu memandu melebihi had laju. Jesteru itu, setiap pemandu hendaklah bertanggungjawab pada setiap pemanduan mereka dalam mendepani risiko kemalangan yang semakin meningkat setiap tahun.
USAHA MELAHIRKAN PEMANDU YANG SELAMAT
Pemandu yang baik adalah bergantung kepada kemahiran dan pengalaman memandu. Kualiti ini adalah menjadi tanggungjawab setiap pemandu bagi menentukan keselamatan lalulintas yang lain. Keyakinan, konsentrasi, kesabaran dan berbudi bahasa adalah juga beberapa fungsi sikap pemandu yang baik dan berwawasan.
Kemahiran yang semula jadi atau kuasa berfikir yang baik ketika memandu bukannya dimiliki oleh semua pemandu, tetapi sikap pemandu itu sendiri yang paling utama dan PENTING.
Setiap pemandu hendaklah berusaha bagi mencapai kualiti ini. Usaha ini perlu dimulakan daripada mula mula belajar memandu. Sebelum kita meneliti lebih jauh, marilah kita lihat KUALITI itu dengan lebih terperinci.
TANGGUNGJAWAB
Sebagai pemandu anda bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri, penumpang dan pengguna jalanraya yang lain termasuk pejalan kaki, penunggang sikal yang lemah di atas jalanraya. Anda boleh melakukannya dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap keadaan lalulintas. Jesteru bagi anda merancang dengan baik dan tidak membahayakan atau menyusahkan pengguna yang lain maka jauhilah perasaan terburu-buru dan cepat marah apabila bertindak sesuatu.
KONSENTRASI (TUMPUAN)
Pemandu yang bertanggungjawab memerlukan konsentrasi sepenuhnya mengikut keadaan jalanraya dan lalulintas. Pada zaman serba moden ini anda tidak dapat lari daripada bahaya atau hazard di atas jalanraya. Sekiranya fikiran melayang walaupun sejenak, risikonya amatlah besar sekali dan kesilapan itu pastinya akan menyebabkan kemalangan.
Sekiranya anda berasa letih, dalam kesusahan, tidak sihat atau fikiran terganggu nescaya segala tindakan menjadi lambat dan serba tidak kena. Jesteru itu, lebih baik anda elakkanlah daripada memandu. Sekiranya perjalanan perlu diteruskan, maka anda perlulah membuat perancangan yang teliti dan lebih awal.
JANGKAAN (ANTICIPATION)
Konsentrasi sepenuhnya Ketika memandu akan membantu anda bertindak mengikut jangkaan yang lebih tersusun dan selamat. Maksud JANGKAAN di sini ialah gerak hati (bertindak sebelum terjadi sesuatu). Sebagaimana yang dilakukan oleh pengguna jalanraya yang lain.
Kualiti jangkaan kepada pejalan kaki, penunggang basikal biasanya mendadak secara AUTOMATIK. Jangkaan yang baik membolehkan anda dapat bertindak dengan selamat bagi mengelakkan setiap bahaya yang akan dihadapi.
Bagi merungkai bahaya, pemandu berwibawa hendaklah mengklasifikasikan bahaya kepada beberapa kategori seperti berikut:
1) Bahaya Fizikal
Bahaya fizikal merupakan bahaya yang ujud secara tetap seperti jalan yang bersimpang, bertingkat-tingkat, persimpangan, terowong atau jambatan sempit
2) Bahaya Lalulintas
Bahaya lalulintas merangkumi pelbagai jenis kenderaan yang bergerak di atas jalan termasuk pejalan kaki dan haiwan haiwan liar.
3) Bahaya Persekitaran
Bahaya persekitaran adalah yang paling besar perlu dihadapi oleh pemandu seperti kejadian banjir, tanah runtuh, tiupan angin kencang, kebakaran / asap-asap, kabus, pancaran cahaya dan sebagainya.
Dalam situasi yang lebih sukar, semua halangan yang tersebut di atas boleh bergabung secara serentak dan menjadikan ancaman yang terlalu sukar untuk ditangani pada sesuatu masa.
KESABARAN
Anda akan cepat hilang kesabaran atau pertimbangan apabila ujudnya pemandu lain yang melakukan kesalahan atau anda terperangkap di dalam kesesakan lalulintas. Sekiranya anda mengamalkan kelakuan ini besar kemungkinan anda akan terdedah kepada risiko kemalangan.
Elakkan diri memandu terburu-buru dan berlumba-lumba, sekiranya terdapat pemandu yang kurang sopan atau kelakuan mereka adalah luarbiasa atau mencurigakan hingga anda kurang senang, cuba ELAKKAN dan ambil tindakan sebaiknya untuk keluar dari situasi sebegini. TIADA PENGAJARAN YANG LEBIH BAIK DARI CONTOH TELADAN YANG BAIK.
KEYAKINAN
Keyakinan seseorang pemandu mengawal sebuah kenderaan adalah sebahagian dari SIKAPNYA sendiri. Bagi pemandu yang belum mahir sudah tentu mereka merasa kurang yakin terhadap dirinya. Ia akan membawa kepada kelalaian, risiko yang buruk dan terdedah kepada ancaman bahaya walaupun kecil tetapi tetap menjadi besar dan tidak terkawal.
RANCANGAN DAN LATIHAN
Apa yang telah dibincangkan sejauh ini adalah bagaimana untuk menjadi pemandu yang baik dan selamat, dengan mempertingkatkan tanggungjawab, konsentrasi, jangkaan, kesabaran dan keyakinan di mana ianya bergantung kepada cara penerimaan pengajaran yang baik daripada mula.
Setiap orang biasanya belajar memandu melalui ibubapa, saudara mara atau kawan dan ini membolehkan mereka memperolehi banyak latihan bagi memantapkan perspektif mereka terhadap pemanduan yang bakal mereka tempoh.
Malangnya kebanyakan mereka memberi penerangan yang kurang tepat tentang pemanduan kenderaan dan prosedur di jalanraya. Mereka juga boleh meruntuhkan keyakinan pelajar apabila memandu di jalanraya. Dengan lain perkataan mereka mengajar para pendatang baru untuk berlari sebelum boleh berjalan.
Sudah tentu tidak semua ibubapa, saudara mara atau kawan-kawan adalah yang baik yang mampu menunjukkan teladan dan kaedah memandu terbaik berbanding seorang jurulatih yang cekap dan terlatih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah melalui pelbagai peringkat pengajian dan Latihan sehingga mereka bergelar jurulatih yang berwibawa. Bertitik tolak daripada ini, perancangan dan kaedah memandu yang tersusun dan sistematik adalah perlu untuk melahirkan pemandu yang berkeyakinan tinggi.
Dalam erti kata lain, setiap bakal pemandu haruslah merancang rangka pembelajaran mereka mengikut kemampuan mereka. Kea rah menjadi pemandu yang berwibawa tiada jalan mudah untuk mencapai matlamat ini kerana perlu mengeluarkan perbelanjaan tenaga dan masa. Tiada diragukan lagi bahawa cara yang paling baik ialah dengan mengikuti Latihan yang tersusun dan professional. Dalam jangka masa panjang hasilnya akan lebih berfaedah walapun latihannya memerlukan pengorbanan daripada bakal pemandu.
PENGETAHUAN MEKANIKAL
Anda perlu mengetahui bagaimana sesebuah enjin itu boleh dihidupkan. Sebagai seorang pemandu yang baik wajiblah mereka mengetahui bagaimana kenderaan berfungsi dan keseluruhan bahagian kenderaan yang mereka pandu. Sekiranya anda mempunyai pengetahuan mekanikal, maka anda adalah lebih baik daripada pemandu lain kerana dapat membezakan di antara satu kenderaan dengan kenderaan yang lain. Pengetahuan seperti ini akan menjadikan anda lebih yakin serta menarik minat anda untuk memandu sesebuah kenderaan dengan lebih mantap. Hasilnya kenderaan yang anda pandu akan lebih selamat dan boleh digunakan untuk jangka masa yang lebih lama.
Berdasarkan keadaan ini, anda sewajarnya perlu membaca buku manual dan rujukan yang ada supaya anda lebih memahami selok belok sesebuah kenderaan yang begitu canggih samada keluaran tempatan atau luar negara. Setelah memahami spesifikasi dan hal-hal berkaitan kawalan maka lebih mudah dan cepat bagi seseorang pemandu menguasai kenderaan tersebut tanpa rasa bimbang atau ragu-ragu semasa memandu.
Bagi menambah pengetahuan, kenderaan yang dikeluarkan oleh jenama-jenama terkenal di dunia adalah seperti berikut:
Eropah:
1) Mercedes
2) BMW
3) Audi
4) Volvo
5) Renault
6) Peugeot
7) Volkswagen
8) Alfa Romeo
USA:
1) Ford
2) Chevrolet
3) Chrysler
Jepun:
1) Honda
2) Toyota
3) Nissan
4) Subaru
5) Mazda
6) Daihatsu
China:
1) Geely
2) BYD Auto
3) JAC Motor
4) Great Wall Motors
5) GAC group
6) Dongfeng
7) Foton Motor
8) SAIC Motor
9) Changan Automobil Group
10) Chery
Korea
1) Hyundai
2) KIA
Malaysia
1) Proton
2) Perodua
Pengetahuan pemandu hendaklah dipertingkatkan pada setiap masa kerana teknologi masa kini yang dimasukkan ke dalam sesebuah kenderaan telah berubah seperti keujudan kenderaan elektrik dengan hybrid dengan gabungan “autonomous driving” meletakkan pemandu di tahap yang lebih tinggi untuk mengawal semua kenderaan dalam persekitaran yang sentiasa berbeza-beza.